Saturday 18 January 2014

NADI ILMU AMALAN MEMBACA

Membaca adalah kaedah utama untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Kepentingan ini lebih jelas dilihat menerusi wahyu Allah dalam surah al-Alaq, ayat 1– 5 yang bermaksud “ Bacalah (Wahai Muhamad S.AW) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Dia menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia menerusi pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Dalam hal ini kita semua sedia maklum bahawa salah satu daripada usaha bagi mendapat, menambah ilmu dan sumber ilmu baru adalah menerusi pembacaan. Membaca turut dikaitkan dengan proses pembangunan masyarakat berfikir dan bernilai tinggi. Malah jelas terbukti dalam masyarakat hari ini bahawa individu yang berterusan membaca mempunyai personaliti yang dihormati dan berkualiti serta kaya dengan maklumat. Lebih tinggi nilai ilmu yang dimiliki seseorang, lebih tinggi hormat dan tanggapan masyarakat terhadapnya. Malah ilmu yang dimiliki boleh dimanfaatkan dalam proses pembangunan masyarakat dan Negara. Senario inilah yang menjadi pencetus kepada lahirnya Program NILAM di sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan Membaca mula diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun 1999 hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Gerakan Tabiat Membaca peringkat Kementerian Pelajaran pada tahun 1998. Surat Pekeliling Iktisas Bil 13/1998 mewajibkan semua sekolah melaksanakan program ini yang mempunyai hasrat murni mewujudkan budaya membaca dan budaya ilmu rakyat Malaysia. Selaku payung kepada pelbagai adunan aktiviti galakan membaca di sekolah, program ini dilaksanakan bermula dengan tahun 1 bagi sekolah rendah dan tingkatan 1 bagi sekolah menengah. Rekod pembacaan murid-murid ini diteruskan sehingga tamat persekolahan. Gerakan untuk mencapai 100% penglibatan pelajar dalam program ini giat dijalankan oleh rangkaian Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di peringkat Negeri, Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian serta Pusat Kegiatan Guru. BTP juga turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah dalam merangka dan melaksanakan aktiviti sokongan pemantapan Program NILAM seperti Pertandingan Jejak Maklumat, Pertandingan Resensi buku dan Pameran buku. Malah Jemaah Nazir juga mengambil kira elemen pelaksanaan program NILAM ketika membuat pemantauan ke sekolah-sekolah. Namun begitu asas kejayaan pelaksanaan Program NILAM ini sebenarnya haruslah bermula di sekolah. Pelaksanaan Program NILAM yang berkesan perlu perancangan yang teliti dan mempunyai sasaran untuk dicapai. Dalam hal ini, pelaksanaan NILAM perlulah bersifat spesifik dan mempunyai petunjuk prestasi (KPI) yang boleh diukur. Contohnya meningkatkan 40% pembacaan berkualiti murid supaya memberi kesan kepada pencapaian Bahasa Melayu. 40% pembacaan murid boleh diukur menerusi data pinjaman buku, rekod NILAM pelajar dan melihat peratusan peningkatan dalam Bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, penubuhan Jawatankuasa NILAM peringkat sekolah yang diterajui oleh pengetua adalah perlu. Jawatankuasa ini perlu berbincang untuk;- Menetapkan objektif pelaksanaan Program NILAM peringkat sekolah. Menetapkan pencapaian sasaran. Membincangkan modus operandi pelaksanaan Mengenalpasti pihak-pihak yang terlibat Mewujudkan pelan pemantauan. Membincangkan bentuk ganjaran Membuat penambahbaikan secara berterusan. Perancangan NILAM perlu bersifat realistik dengan mengambilkira persekitaran, budaya dan iklim sekolah. Perancangan yang dibuat mestilah bersifat jangka panjang dan jangka pendek. Perancangan jangka pendek merupakan perancangan tahunan dan bersifat semasa. Perancangan ini memberi fokus kepada gerakan membaca dan penerokaan maklumat pada tahun semasa. Bagi menjadikan program membaca sebagai satu budaya, perancangan jangka panjang yang mempunyai tempoh 3, 5 atau 10 tahun perlulah digubal. Perancangan jangka panjang ini berfokuskan pembudayaan amalan membaca yang dapat mengubah senario budaya sekolah dalam aspek kurikulum, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid. Masa yang panjang diambil untuk melihat perubahan dan keberkesanan perancangan yang digubal. Proses melaksana apa yang dirancang perlu dilakukan secara berterusan walaupun berlaku pertukaran pentadbir sekolah.

Kejayaan Program NILAM  sangat bergantung kepada kepimpinan sekolah. Seperti yang dinyatakan oleh Rosenblum (1979) dalam tulisan-tulisannya berkaitan kepimpinan sekolah, seorang pengetua mempunyai peranan besar dalam mempengaruhi setiap individu di institusinya. Kepimpinan seorang pengetua mampu merubah  halatuju, membentuk iklim pembelajaran dan mempengaruhi tahap profesionalisme guru-guru  dalam pelaksanaan tugas serta pencapaian pelajar. Pengetua selaku pemimpin sekolah memainkan peranan penting dalam menggerak dan menjayakan program NILAM.
Pengetua yang memahami dasar dan matlamat NILAM akan menjadikan gerakan membaca ini sebagai kebitaraan sekolah. Pemahaman yang mendalam dan disertai dengan misi yang terancang membolehkan beliau menyampaikan taklimat kepada guru dan ibu bapa. memastikan program NILAM berjalan  lancar melalui pemantauan, perjumpaan dengan guru dan temubual murid, menjadi pendorong dan penggerak kepada seluruh warga sekolah, mengenalpasti masalah dan membuat penambahbaikan serta merancang  latihan dalam perkhidmatan kepada guru-guru supaya pengajaran di sekolah menjurus kepada pembacaan aktif. Kepimpinan yang memandang serius pelaksanaan NILAM akan membolehkan seluruh warga sekolah ‘bergerak dalam rentak yang sama’
Guru Perpustakaan Media (GPM) memainkan peranan penting sebagai suri teladan   terutama dalam  pelaksanaan proses P&P yang menjurus kepada pembacaan aktif.  GPM perlu bertindak sebagai
  1. Guru – memberi  arahan langsung kepada murid mengenai amalan membaca, literasi maklumat dan kemahiran mendapat ilmu pengetahuan.
  2. Rakan instruksional – bekerjasama dengan guru-guru untuk mengkaji keperluan maklumat, perkembangan kurikulum dan rekabentuk instruktional yang bersesuaian untuk mencapai objektif program.
  3. Pakar maklumat -  menunjukkan kepimpinan dalam kerja pengurusan maklumat seperti mengumpul, menyedia,  menyimpan dan mengedar maklumat untuk bacaan dan keperluan sekolah.
  4. Pentadbir program – melaksanakan tugas secara kolaborasi dengan guru dan pentadbir serta komuniti luar bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti berteraskan pembacaan.
GPM perlu sentiasa mempromosi Program NILAM dalam apa jua bentuk dan perlu dikenali oleh warga sekolah sebagai penggerak utama NILAM selain pemimpin sekolah. Jadikan NILAM sebagai fokus utama dalam pelaksanaan tugas. Dalam hal ini, GPM perlu menggunakan pelbagai pendekatan kemanusiaan  (human approach) untuk mendekati dan menarik perhatian guru-guru dan para murid. Biarlah dikenali sebagai ‘cikgu NILAM’ atau ‘cikgu yang selalu suruh membaca’. Jadikan NILAM sebagai bahan yang ditutur di bibir. Bersikaplah sebagai guru yang banyak  membaca dan mungkin menjadi idola kepada kebanyakan murid. GPM juga perlu bersifat inovatif dan kreatif dalam pelaksanaan aktiviti. Rancanglah aktiviti berteraskan pembacaan dan literasi maklumat yang bersesuaian dengan budaya sekolah .
Program NILAM berfokus  dan berkesan hanya akan tercapai dengan kerjasama semua pihak. Aktiviti secara kolaborasi dengan panitia boleh dilaksanakan sebagai penggalak. Antaranya;-
  1. Merancang dan melaksanakan pameran bertema dan pertandingan kuiz.
  2. Mengadakan aktiviti jejak maklumat dalam panitia.
  3. Merancang P&P secara bersama yang menggunakan kemahiran belajar dan literasi maklumat. P&P akan menjadi lebih aktif, berkesan dan berkualiti.
  4. Menggubal modul pembelajaran terutama bagi mata pelajaran bahasa yang akan mendedahkan murid  kepada budaya membaca dan penerokaan maklumat.
  5. Menetapkan sasaran pembacaan berkualiti mengikut panitia. Contohnya setiap murid  wajib membaca 3 buah buku sejarah dan ensiklopedia sains dalam setahun.
  6. Menjalankan pertandingan ko-akademik seperti syarahan, debat, kuiz, drama dan pertandingan reka cipta yang memerlukan murid  membuat kajian menerusi pembacaan.
  7. Mengadakan minggu-minggu mata pelajaran secara gabungjalin.
  8. Mengadakan projek-projek laluan ilmu mengikut panitia
Kolaborasi dengan panitia dan unit-unit lain di sekolah contohnya  Unit Bimbingan dan Kaunseling dan kelab persatuan akan menjadikan Program NILAM sebagai akar tunjang kepada seluruh pergerakan aktiviti sekolah. Kekuatan ini membolehkan penetapan objektif NILAM sekolah yang ditetapkan akan lebih mudah tercapai. Senario ini juga mampu mengubah budaya kerja guru-guru ke arah lebih professional dan cemerlang. Pemuafakatan dan ikatan antara warga sekolah  akan lebih erat terjalin.
Pelaksanaan NILAM secara menyeluruh juga akan mengubah senario sekolah.  Para murid  lebih terdorong senyap dan membaca. Dalam jangka panjang, budaya ini mampu memberi impak berkesan kepada pencapaian murid  dalam akademik, suasana bising akan hilang, masalah disiplin akan berkurangan dan lahirlah ramai pemimpin-pemimpin kecil yang bertindak sebagai Rakan Pembaca.  Kepimpinan yang digilap merupakan aset besar kepada sekolah dalam menyumbang kepada pencapaian pelajar dalam aktiviti kokurikulum.
Laluan-laluan ilmu yang diusahakan oleh panitia-panitia mata pelajaran akan menukarkan panorama sekolah kepada suasana ceria dan bermaklumat. Paparan maklumat di persekitaran sekolah boleh digunakan oleh guru-guru dalam aktiviti pembelajaran dan kokurikulum. Pembelajaran aktif  di luar bilik darjah senantiasa dinanti oleh para murid  kerana lebih menarik,  menyeronokkan dan berkesan. Alangkah menariknya murid-murid  berlari dan berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu !
Guru-guru di sekolah mempunyai pengaruh yang besar kepada murid-murid di sekolah.. Sehubungan itu, guru juga perlu menyertai Program NILAM. Pemimpin sekolah harus memainkan peranan menggalakkan guru-guru membaca bahan bacaan yang dapat membantu meningkatkan tahap profesionalisme keguruan. Guru-guru yang banyak membaca lebih banyak idea, bersikap kreatif, luas pengetahuan dan mampu memberi  sumbangan besar kepada kecemerlangan sekolah. Aktiviti susulan pembacaan seperti bicara buku, diskusi ilmu, penulisan ilmiah, kajian tindakan dan penghasilan modul pembelajaran mampu memberi  impak yang besar kepada keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Tambahan pula, pembelajaran tidak seharusnya dalam kepompong orientasi peperiksaan semata-mata.  Pembelajaran yang bersifat aktif dan terdedah kepada penerokaan  maklumat sebenarnya memberi pengalaman kepada murid-murid  corak pembelajaran di peringkat tinggi. Kaedah pembelajaran ini juga dapat mengurangkan budaya “suap” dan kebergantungan kepada guru semata – mata. Murid  yang terdedah kepada pembelajaran ke arah pembacaan yang aktif akan lebih bersifat survival, berdikari dan lebih bijak dalam proses berfikir dan penyelesaian masalah (Raja Abdullah Yaacob : 2008).  Pendekatan pembelajaran sepanjang hayat dapat dilaksanakan.  Guru-guru boleh merancang P&P yang menjurus kepada pembacaan aktif dalam bentuk kerja kursus, tugasan pembentangan, gerak kerja berkumpulan, berkongsi artikel,  majalah atau akhbar dalam kelas, bicara buku, pertandingan bercerita, aktiviti drama atau persembahan boneka.
Membaca adalah kegiatan yang boleh membangunkan intelektual, menyuburkan budaya ilmu, membentuk pemikiran kreatif dan dinamis serta membentuk keperibadian manusia. Justeru,  pelaksanaan Program NILAM yang terancang, sistematik dan berfokus mampu memberi impak berkesan kepada pembangunan sekolah samada dalam aspek kemenjadian murid maupun guru. Program NILAM sekiranya dilihat dalam dimensi yang mendalam merupakan salah satu strategi hebat yang mampu mengubah senario sekolah kepada sebuah institusi pendidikan cemerlang yang menjadi idaman pengetua maupun ibu bapa. Sistem pendidikan Negara telah melahirkan dua insan hebat yang telah berjaya memecah rekod pencapaian pelajar lain dalam peperiksaan SPM iaitu Nur Amalina Che Bakri (17 1A) dan Azali Azlan ( 20 1A dan satu 2A). Yang pasti kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu telah dinobatkan sebagai Tokoh NILAM Kebangsaan !

Monday 11 November 2013

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

Alhamdulillah, ramai yang bertanya kepada apakah adab-adab untuk menuntut ilmu agama. Ini adalah pertanyaan, atau lebih tepat, perkembangan yang baik di kalangan umat Islam. Untuk menjawab persoalan ini, saya menyusun dua risalah yang ringkas, yang pertama menyentuh adab-adab menuntut ilmu manakala yang kedua adalah unsur-unsur yang dapat merosakkan ilmu.


Adab # 1: Ikhlas dalam menuntut ilmu.
Sepertimana amalan-amalan yang lain, langkah yang pertama adalah keikhlasan diri. Langkah ini merupakan faktor yang amat penting sehinggakan Rasulullah telah memberi amaran:

“Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang sepatutnya dilakukan kerana mencari Wajah Allah, namun dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan keuntungan duniawi, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada Hari Kiamat.”

[Maksud hadis riwayat Ibn Hibban dan ia dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban (Muassasah al-Risalah, Beirut, 1997), hadis no: 78].


Oleh kerana itu dalam sebuah hadis yang lain, baginda mengingatkan:

“Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal itu maka nerakalah tempatnya.”

[Maksud hadis riwayat Ibn Hibban dengan para perawi yang dipercayai lagi sahih, demikian terang Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban, hadis no: 77].


Justeru orang yang ingin memahami agama perlu membetulkan niat dan tujuannya. Hendaklah dia melakukannya kerana:
  1. Ingin memperbaiki diri dalam mentauhidkan Allah sebagai merealisasikan bahagian pertama syahdah: “La ilaha illallah”.
  2. Ingin memperbaiki diri dalam mengamalkan sunnah Rasulullah sebagai merealisasikan bahagian kedua syahdah: “Wa anna Muhammad Rasulullah”.
  3. Ingin memperbaiki keadaan umat Islam sebagai merealisasikan tuntutan amar ma’ruf dan nahi mungkar yang merupakan salah satu tuntutan asas agama.
  4. Ingin membela agama Islam daripada fitnah musuh-musuhnya seperti para orientalis dan para pencipta bid’ah.

Sesiapa yang memiliki niat dan tujuan yang betul sepertimana di atas, dia tidak sekali-kali akan terkalah dengan pelbagai cubaan dan fitnah yang mungkin dihadapinya dalam rangka memahami agama Islam. Ini kerana:

“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
[Maksud surah Muhammad, ayat 7]



Adab # 2: Positif dan Yakin kepada diri sendiri.
Sikap yang positif dan keyakinan diri adalah faktor yang penting untuk mencapai sesuatu tujuan. Faktor ini tidak terpisah bagi sesiapa yang ingin memahami agama yang dicintai ini. Bahkan ketahuilah bahawa sesiapa yang berusaha dengan ikhlas untuk tujuan ini, maka Allah akan membimbingnya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” [al-Ankabut, ayat 69]


“Pimpinan” Allah boleh wujud dalam pelbagai bentuk, seperti dipertemukan dengan guru yang benar, ditunjuki kepada buku daripada penulis yang jujur, dipersahabatkan dengan orang-orang yang shalih, dibimbing kepada subjek-subjek yang mengikut tertib kepentingannya dan ditanam dalam dirinya akhlak yang mulia apabila berinteraksi dengan ilmu agama. Oleh itu janganlah merasa ragu-ragu atau rendah diri untuk berusaha memahami agama Islam. Yakinilah bahawa Allah akan memimpinnya selagi mana dia ikhlas dan bersungguh-sungguh.



Adab # 3: Bersiap sedia untuk melakukan pengorbanan.
Tidak ada jalan pintas (short cut) untuk memahami agama Islam, maka janganlah mengharapkan kefahaman dalam agama secara serta merta atau melalui jalan yang mudah. Sebaliknya hendaklah bersiap sedia untuk melakukan banyak pengorbanan dari sudut tenaga, masa, kewangan dan kehidupan. Proses menuntut ilmu sememangnya memerlukan banyak pengorbanan dan hal ini diketahui oleh Rasulullah. Oleh itu baginda menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang melakukan pengorbanan tersebut dengan bersabda, maksudnya:

“Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu,
maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”

[Riwayat Muslim dalam Shahihnya (penomboran Fu’ad Abd al-Baqi), hadis no: 2699].

Pengorbanan dari sudut tenaga dan masa adalah berusaha untuk ke kelas-kelas pengajian agama sekalipun kesibukan atau keletihan dengan kuliah di universiti atau kerja di pejabat. Pengorbanan kewangan adalah membelanjakan wang ringgit untuk membeli buku-buku agama yang berkualiti. Ini adalah pengorbanan yang tidak boleh ditinggalkan, dimana setiap yang ingin memahami agama Islam perlu mencintai buku dan berusaha membina koleksi buku-buku agama atau perpustakaan peribadi yang tersendiri.

Namun di antara semua pengorbanan, yang terbesar adalah pengubahsuaian gaya hidup. Tidur perlu dikurangkan, gizi pemakanan perlu dijaga dan aktiviti harian yang sia-sia perlu dihindari. Sedar atau tidak, terdapat banyak aktiviti harian yang sebenarnya adalah sia-sia seperti mengikuti acara sukan, membaca akhbar harian, menonton televisyen dan berbual kosong. Semua ini hendaklah diubah kepada bersukan demi menjaga kesihatan, menelaah akhbar harian sekadar mencari laporan yang bermanfaat, menghadkan tontonan televisyen kepada dokumentari yang ilmiah dan berbual sekadar menyampaikan nasihat. Pengubahsuaian ini akan membuka banyak masa lapang yang dapat dimanfaatkan untuk memahami agama Islam.



Adab # 4: Tidak mengenal titik noktah.
Semua orang yang melazimkan diri berinteraksi dengan ilmu akan mengetahui bahawa ia sentiasa dinamik tanpa mengenal titik noktah. Maka demikianlah juga seharusnya sikap setiap muslimin dan muslimah yang ingin mencari kefahaman agama. Tidak boleh berkata “Saya sudah habis belajar agama” atau “Saya sudah faham Islam”. Sebaliknya hendaklah sentiasa mengkaji dan menganalisa kerana ilmu agama juga adalah sentiasa dinamik. Bak kata pepatah:

“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”


Perhatikan doa yang diajar oleh Allah kepada Rasulullah, yang bermaksud:

Dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”.[Ta-Ha, ayat 114]


Perkataan “tambahilah” menunjukkan ilmu itu tidak mengenal batas maksimum, sebaliknya sentiasa dinamik sehingga boleh bertambah dan bertambah.

Memiliki manhaj yang dinamik dalam rangka memahami agama setidak-tidaknya memiliki kepentingan dari dua sudut:

Pertama: Pada masa kini terdapat banyak ajaran yang menyeleweng, setiap darinya berselindung di sebalik slogan “Ahli Sunnah Wal Jamaah” agar kelihatan berada di atas jalan yang benar. Seandainya seseorang itu tergelincir dalam salah satu daripada ajaran yang menyeleweng, sikap dinamiknya yang sentiasa mengkaji dan menganalisa akan mengeluarkan dirinya daripada ajaran tersebut kepada ajaran yang benar.

Kedua: Seseorang yang berusaha memahami agama akan melalui beberapa tahap, daripada tahap kebudak-budakan sehinggalah kepada tahap kedewasaan. Ini kerana dalam rangka melakukan kajian, dia akan menemui banyak perkara baru yang tidak pernah diketahuinya sebelum itu. Penemuan ini akan menjana semangat baru dalam dirinya. Terdapat kemungkinan yang besar semangat tersebut akan mengarah dirinya kepada sikap merasa dirinya amat berilmu (ujub), memandang rendah para ulama’ dan mudah menghukum orang yang tidak sependapat dengannya. Inilah sikap kebudak-budakan yang saya maksudkan.

Di sini manhaj dinamik amatlah perlu dimana sikap yang sentiasa mengkaji dan menganalisa akan mengalih seseorang itu dari tahap kebudakan-budakan ke tahap kedewasaan. Tahap kedewasaan akan mengarah kepada sikap merendah diri berdasarkan keinsafan bahawa ilmu agama sebenarnya amat luas, sikap menghormati para ‘ulama berdasarkan kesedaran bahawa terdapat banyak faktor lain yang mereka pertimbangkan dan terbuka kepada dialog berdasarkan mata yang celik kepada hakikat berbeza pendapat adalah fitrah manusia.



Adab # 5: Mengamalkan ilmu.
Usaha untuk memahami agama Islam bukanlah sekadar class room discussion, akan tetapi ia adalah untuk diamalkan. Ilmu tanpa amalan adalah sesuatu yang dibenci oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” [al-Saff, ayat 2-3]


Malah ia adalah faktor yang boleh menyebabkan hati menjadi keras sehingga tidak dapat lagi menerima apa-apa manfaat daripada ilmu. Firman Allah:

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.”[Maksud surah al-Hadid, ayat 16]


Sebaliknya orang yang mengamalkan ilmunya akan ditambahi oleh Allah dengan ilmu dalam pelbagai bentuk. Orang yang berusaha memahami agama Islam akan meningkat keimanannya dan iman itu sendiri adalah apa yang dibuktikan dengan hati, lidah dan perbuatan. Keimanan seperti ini akan ditambahi oleh Allah dengan hidayah-Nya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“……sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah.”[Maksud surah al-Kahf, ayat 13]


Orang yang mengamalkan ilmu juga bererti mengamalkan hidayah yang Allah kurniakan kepadanya. Dengan itu Allah akan menambah hidayah tersebut sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menerima hidayah, Allah menambahimereka dengan hidayah, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.” [Muhammad, ayat 17] “Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang yang menurut jalan petunjuk.” [Maryam, ayat 76]


Orang yang mengamalkan ilmu juga bererti meningkatkan ketaqwaannya, maka dengan itu Allah akan mengurniakan kepadanyaal-Furqan yang membolehkan dia membezakan antara yang benar dan batil. Allah akan juga menambahi Rahmat-Nya dan memberikannya cahaya untuk terus berada di atas jalan yang benar. Perhatikan dua firman Allah berikut yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (al-Furqan) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” [al-Anfal, ayat 29]

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, danmenjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya, serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Hadid, ayat 28]




Adab # 6: Berhubung dengan orang yang berhubung dengan ilmu.
Siapa kita berhubung, siapa kita berkawan, memiliki pengaruh yang besar kepada perwatakan diri kita sendiri. Rasulullah pernah mengingatkan, maksudnya:

“Sesungguhnya perumpamaan teman yang shalih dan
teman yang buruk hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya (minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak sedap daripadanya (bau besi).” [Diriwayatkan oleh Muslim dalamShahihnya, hadis no: 2628].


Oleh itu sesiapa yang berusaha untuk memahami agama Islam hendaklah sentiasa berhubung dengan orang-orang yang perhubungannya sentiasa bersama ilmu. Mereka adalah orang-orang yang perhatiannya sentiasa kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, usahanya sentiasa kepada mengkaji kitab-kitab peninggalan para ulama’ dan pemikirannya sentiasa ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan menjaga kemurnian agama Islam.

Di antara mereka ialah para alim ulama’ dan guru-guru, maka hendaklah memuliakan mereka, mendengar nasihat mereka dan mengikuti jejak langkah mereka. Seandainya mereka berbuat salah, hendaklah menasihati mereka secara sopan dan tersembunyi, tidak secara kasar dan terbuka kepada orang ramai. Di antara mereka adalah orang-orang yang dalam proses memahami agama Islam, maka hendaklah menjadikan mereka sebagai sahabat karib, selalu meluangkan masa berkongsi ilmu, bertukar-tukar pendapat dan saling menasihati.



Adab # 7: Berdoa Kepada Allah.
Setiap usaha perlu diikuti dengan doa dan usaha untuk memahami agama Islam tidak terpisah daripada adab ini. Maka hendaklah berdoa kepada Allah dan sebaik-baik doa adalah apa yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya. Antaranya:

“Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.” [Maksud surah al-Fatihah, ayat 6-7]



رَبِّ زِدْنِي عِلْمًا.

“Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku”. [Ta-Ha, ayat 114]



رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا.

“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
[al-Kahf, ayat 10]



رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ.


“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”
[Ali Imran, ayat 8]


اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ أَنْتَ

تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ

تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

“Ya Allah, Tuhan Malaikat Jibril, Mikail dan Israfil, Tuhan pencipta langit dan bumi, Tuhan yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan nyata. Engkaulah yang akan menghakimi para hamba-Mu mengenai apa sahaja yang mereka perselisihkan. Dengan izin-Mu berilah aku petunjuk memilih kebenaran dari apa yang mereka perselisihkan. Engkaulah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.”
[Shahih Muslim, hadis no: 77].


Diharapkan adab-adab di atas bermanfaat untuk setiap orang. Selain tujuh adab tersebut, setiap orang yang berusaha untuk memahami agama Islam perlu berwaspada kepada unsur-unsur yang boleh merosakkannya. Unsur-unsur tersebut akan dijelaskan dalam penulisan yang seterusnya insya-Allah.


Friday 5 July 2013

Program Khemah Membaca 2013

Program Khemah Membaca 2013
    Pada 3 Julai 2013 Pusat Sumber SMKA Yan telah mengadakan Program Khemah Membaca khusus buat pelajar tingkatan Satu dan Dua. En. Luqman Hidayat bin Ismail, Pegawai Teknologi apusat Kegiatan Guru Yan telah dijemput menjadi fasilitator program